Saturday, August 21, 2010

Semangat Yang Hilang

Berdetik, berdetum.


Kala tengah malam, (lebih tept dikatakan pagi).. merayau-rayau ke blog Narapatinantaboga, PersantaNala, Gayong Serantau Perak, dan lain-lain lagi. Sebenarnya tengah mati akal menjawab soalan assignment kolej yang bertimbun, dengan lab report yang tak sudah. Jadi ambil sedikit masa memikirkan, menambah ilmu mengenai seni kependekaran ini. Dapatlah jugak merungkai sedikit sebanyak sejarah Gayong. Diharapkan suatu hari nanti, boleh bertemu sendiri dengan guru-guru lama untuk ilmu yang lebih lanjut.

Dah dok asyik menatap gambar pesilat-pesilat hebat dari luar, terasa juga dalam diri, mampukah beraksi sedemikian. Sekarang Gayong tempatan bagai layang-layang putus tali, namanya saja gah, "NGERI" tu sudah kabur. Orang bayak bercakap hebat, bengkung tinggi-tinggi, sandang berlapis-lapis, tapi tidaklah se-Ngeri yang sepatutnya. Dah macam harimau hilang kuku.


Gayong di IPT

Makin ramai yang bercakap tentang masalah Gayong di IPT. Memang bermasalah. Mahasiswa kini sudah tidak pandang seni pusaka bangsa lagi. Masing-masing seronok dengan kehidupan sendiri. Walhal berapa percent sangat yang fokus pada pelajaran. Mereka lebih seronok bersama "facebook", layan movie, lepak main gitar, tengok bola jam 2.30 pagi, dan main game komputer. Sedikit amat yang memandang seni. Apatah lagi seni bela diri Melayu.


Saban hari, bilangan penggiat dan penuntut ilmu Gayong makin berkurang, mereka lebih memilih untuk bersenang-senang, bebaskan diri dari kepenatan bersilat. Mungkin bagi mereka, kehidupan di luar lebih menyeronokkan, terserahlah. Apa yang pasti, hanya mereka yang betul-betul sayangkan warisan Melayu saja yang tetap tidak pata hati berjuang untuk Gayong, meski pun seketika cuma. Semoga dikuatkan hati dan semangat mereka.

Wahai anak-anak Melayu, khususnya muda remaja di IPT, renungkanlah. Jika kita nak melihat nasib negara pada masa hadapan, lihatlah remaja pada masa kini. Masalah berkaita remaja semakin meluas, melampaui batas etika manusia. Kelakuan mereka seperti buang bayi, zina, teguk arak, judi, dan masalah akidah, boleh dikatakan hilang layaknya menjadi manusia. Nauzubillah.


Percayalah, dalam Gayong kita belajar, dalam Gayong kita bina jati diri, dalam Gayong kita bina akidah, dalam Gayong kita perkuat semangat. Gayong tidak hanya mengajar bermain pisau tongkat, tetapi Gayong juga mengajar disiplin sepakat.

Salam Gayong~

Friday, July 23, 2010

Sajak Pahlawan: Genta Purba

GENTA PURBA

Siapa tahu genta purba kembali bergema
Mencabar roh-roh pahlawan
Yang dengan keringat dan darah
Membangun tugu-tugu perkasa
Di atas tindihan mayat-mayat bergelimpang
Yang kemudian matinya tak bernama
Rebahnya tanpa upacara

Siapa tahu genta purba kembali bergema
Mencanang perintah raja dari istana
Lalu bertingkah gong dan gendang
Sahut bersahut rebana dibalai
Mendayu-dayu nobat di ruang
Berangkatlah baginda beriring dayang-dayang



Melaka empayar perkasa berpuncak daulat raja
Tun Perak bendahara terbilang lagi perwira
Hang Tuah terkenal handal pahlawan raja
Jebat rakyat mungkar konon menyanggah baginda


Dalam sejarah Tun Seri Lanang berkisah
Tentang Srivijaya Majapahit dan Melaka
Pisang Jarum dan air Bukit Cina
Bandar Melaka berkawal panglima
Terlalu pintar Bendahara Seri Maharaja


Melaka sebuah empayar di Asia Tenggara
Benua China menghulur jabatangan mesra
Mengutus puteri cantik sebagai duta
Bertandang ke istana mengulit duli baginda
Dayang-dayang ungu hatinya dibakar wajah jelita

Adakah mungkin genta purba kembali bergema
Lalu berulang sejarah dua zaman
Siapa tahu Raja Melaka bangun dari makamnya
Menghantar utusan pula ke Benua China?


(Sajak : Genta Purba karya Shamsuddin Ja’afar)

SAJAK TERBAIK PROGRAM PENGHAYATAN SASTERA DAN BUDAYA

Sunday, July 18, 2010

Coretan Pertama: Jatuh Bangun


PSGSM UTP kini sedang kembali bangun, bangun setelah sekian lama terduduk. Walaupun pelbagai onak dan duri membadai, PSGSM tetap teguh. Pendirian kami bukanlah seperti lalang yang hanya mengikut arus angin, tetapi lebih kepada seperti batang buluh. Tetap tabah menongkah arus. Taufan mungkin sahaja mampu menumbangkan besarnya pohon ara atau rendangnya meranti, tetepi tidak buluh. Buluh berupaya membias tiupan ganas itu, bahkan memanfatkannya sebagai kekuatan sendiri. Semoga buluh terus utuh mengikut selok seni lenturannya.

Pasang surut sentiasa berlaku dalam kelab, dan kini musim pasangnya kembali menjelma. Kepimpinan baru yang sudah dilantik diharapkan dapat meneruskan perjuangan Gayong UTP. Meskipun pelbagai ragam tercipta dari luar dan dalam, semoga mereka bersih dari dinodai fikrah buruk pihak luar. Apa yang penting, perjuangan suci ini tegap dijalannya.
Semakin hampir kepada awal semester, semakin kuat debarannya. Masakan tidak, pelbagai program dan perancangan harus dilaksanakan. Bekerja seorang diri boleh mengundang masalah, itulah sebabnya diharapkan semua ahli dapat bersatu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Niat perlu diluruskan, tekad harus digilap. Semester ini semestinya menjanjikan dugaan yang mencabar. Pengambilan ahli baru tidak lagi mudah seperti dahulu kala. Apatah lagi pelajar baru kini memasuki sitem tri-semester. Perbezaan banyak berlaku dari segi waktu cuti dan belajar, sekaligus menyukarkan pihak pengurusan melaksanakan kempen dan demonstasi. Banyak juga antara mereka yang terlebih awal ‘dipetik’ oleh kelab lain.

Bukan sahaja ahli baru, ahli lama pun makin liat menampakkan diri. Semakin hari, makin ramai yang sibuk. Al-maklum sajalah, UTP sarat dengan ‘event’. Masing-masing nak pegang jawatan dalam program. Yang tinggal hanyalah duka dan sepi.
Pembukaan semester baru dijangka getir, terlalu banyak program yang perlu diuruskan. Kalau tidak mengurus, jadi peserta, begitulah... Bermula denga Kursus Tangan Kosong di GPMS, Minggu Mesra Kampus, Kursus Bela Diri Wanita, Demonstrasi Umum, dan Kursus Keris di Ayer Kuning, awal semester ini pastinya mencurahkan banyak keringat. Sekiranya berjaya, keringat itu pastinya menjadi detik bahagia. Semoga detik itu benar-benar suatu realiti...
Sekian sahajalah coretan sebelum bermula semester..

Tuesday, June 1, 2010

Warkah Anak Gaza

Assalamualaikum,

Dari anak-anak kecil Gaza,
Kehadapan Presiden/Perdana Menteri/Pemimpin Dunia.


     Apa khabar Dato'? Harapnya Dato'-Dato' berada dalam keadaan sihat walafiat. Kami di sini juga sihat sahaja, cuma menanti bedilan tentera Yahudi. Lama kiranya kami tidak menghubungi Dato'-Dato'. Kalian selaku umat Islam sentiasa berada di hati kami. Cuma tidak tahulah kalau-kalau Dato' masih terkenangkan kami atau tidak.


Nendaku tersayang,

     Saban hari kami diancam. Ibu bapa kami dibunuh. Kakak-kaka kami diperkosa. Rumah-rumah kami ranap. Mengapa mereka musnahkan rumah kami, walhal saiznya kecil sahaja. Rumah Dato'-Dato' sekalian berlipat ganda besar, tidak pula mereka hancurkan, hati-hati ya Dato'. 


Dato',

    Pagi tadi kami hanya sempat menjamah roti kering dengan air kosong. Bekalan kami semakin berkurang. Jarang sekali kami tidak berpuasa, gara-gara kehabisan makanan. Cemburu juga mendengarkan Dato' sekalian makan di hotel-hotel mewah. Di sini usahkan makanan, ubat-ubatan pun tiada. Bantuan yang diharapkan tidak kunjung tiba. Kami bukanlah mengemis, sekadar memohon Doa' dari kalian. Itupun kalau kalian masih lagi mengerjakan sembahyang, atau kalian leka dengan gadis-gadis pelayan?


Dato'..

     Dato'? menangis? Tidak usah Dato'.Kami sudah serik, air mata kalian tidak mebawa erti lagi. Kami berjuang di atas bumi sendiri. Batu senjata kami, senapang mainan kami, bom menjadi hiasan kami. Terima kasih Dato' kerana sudi menderma di hadapan kamera wartawan, namun kami tidak mengharapkan itu. kami harapakan keikhlasan, bukan cakap kosong atau laungan remeh di kaca televisyen.  


Nendaku yang dikasihi, 

     Doakan kami. Gaza tidak akan tumbang dengan mudah. Palestin akan kami pertahankan. Kitab suci kami julang. Doakan saja semangat kami tidak luntur, Jihad kami tidak kecundang. Semoga Allah merahmati kami. Teguhkanlah imanmu wahai nendaku, pelihara akhlakmu, ingatlah Tuhanmu. 




Salam Sayang,
Anak Kecil Gaza

Thursday, May 27, 2010

Lambang Baru Gayong Serantau

Lambang Baru Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia




Lambang yang menjadi lencana atau terpapar pada dokumen rasmi dan sijil Silat Gayong mempunyai makna dan pengertian tertentu.

BULAN DAN BINTANG
Melambangkan agama Islam dan syiarnya berada di puncak dunia. Silat Gayong meletakkan agama di tempat yang paling tinggi sebagai penyuluh hidup. Ia juga melambangkan agama Islam menjadi teras perguruan persilatan ini.

BUMI
Menunjukkan bahawa Silat Seni gayong akan berkembang ke seluruh dunia khasnya untuk semua muslim.

BEJANA AIR

Simbolik kepada universaliti ilmu Silat Seni Gayong. Apa yang didapati atau dilihat pada senibela diri lain samada tempatan atau luar negeri telah wujud dalam Silat Seni Gayong. Silat Seni Gayong ialah ilmu persilatan asli yang tidak diciplak dan boleh ditimba sentiasa umpama air yang tidak akan putus. Ia juga melambangkan kesatuan hati dan bulat kata kerana sepakat. Bak kata pepatah Melayu, “ Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana sepakat ”. Murid Gayong mestilah berpadu untuk menegakkan yang hak.

HARIMAU
Melambangkan keberanian dan kepahlawanan di darat. Ia menonjolkan identiti atau corak pelajaran Silat Seni Gayong yang diasas dari sifat dan ketangkasan seekor harimau. Resam harimau menyembunyikan kukunya, di kala tertentu sahaja ia akan menzahirkan kekuatan dan ketajaman cengkaman kukunya yang boleh mematah dan membunuh mangsanya dalam beberapa saat sahaja.

NAGA
Menunjukkan bahawa Silat Seni Gayong bukan sahaja boleh diguna di darat, bahkan juga di dalam air. Logo naga ini dipercayai telah dihadiahkan oleh Maharaja China kepada Allahyarham Dato’ Laksamana Hang Tuah atas keberanian dan kehandalannya semasa melawat negeri China dahulu. Naga juga  merupakan simbol yang berkaitan dengan proses kelahiran Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman sendiri. Kedudukan naga yang melingkungi dunia di mana kepalanya hampir bercantum dengan ekor melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal ke seluruh dunia.

KERIS BERSILANG
Simbolik kepada semangat Laksamana terbilang melayu, Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Jebat mati sewaktu menjadi Laksamana. Jawatan Laksamana tidak diambil semula oleh Hang Tuah selepas kematian Hang Jebat. Keris dalam lambang tersebut adalah keris Tamingsari yang pernah digunakan oleh kedua-dua laksamana tersebut. Keris yang merupakan salah satu pelajaran yang diajar kepada murid Gayong adalah satu lambang senjata asli bangsa Melayu. Ini membuktikan Silat Seni Gayong adalah silat melayu seni warisan bangsa yang asli dan tulen.

PEDANG BERMATA DUA
Melambangkan pedang Zulfakar kepunyaan Saidina Ali r.a. yang terukir kalimah suci dari Al – Quran bermaksud "Kemenangan daripada Allah dan kejayaan yang hampir" di sepanjang mata pedang tersebut. Ia bertujuan mengenang kembali perjuangan para sahabat menegakkan Islam di zaman Jahilliyah.

HITAM CHULA VII
Melambangkan Bengkung Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negar, bengkong peribadi Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Tengku Daeng Uda Mohd Hashim, Mahaguru Silat Seni Gayong. Di sebalik lambang tersebut, ia bermaksud Silat Seni Gayong bersendikan adat, adatlah yang mengawasi perjalanan Silat Seni Gayong. Tanpa adat, Silat Seni Gayong akan hilang kedaulatan. Oleh itu, menjadi kewajipan semua murid Gayong untuk mempertahankan adat agar hala tuju dan matlamat Silat Seni Gayong tidak diselewenegkan.


Monday, May 17, 2010

Hari Legasi Pendekar Perak

psgsm2
Barisan pendekar UTP bersama Dato’ Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain, Waris Amanah Mahaguru
psgsm3
psgsm4
Gandingan Tempur Dato’ Ketemenggungan Helang Putih dan   Sri Baginda Sangkuriang Brawijaya Sakti.
 16052010144
Gandingan Tempur Tengku Mahkota Bentara Raja dan Dato Laksamana Setia Raja
psgsm1
Aksi bersama senjata masing2
Pada 16 Mei 2010, Pertubuhan Seni Gayong Serantau Perak telah menganjurkan Hari Legasi Pendekar Perak di Sg Siput Perak. Majlis yang penuh makna ini dirasmikan oleh Pewaris Amanah Mahaguru, Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain.


Bengkung Kuning Chula 1
Mohd Amin Bin Harith
(Apit Jinjang Pagar Ruyong)
Muhammad Hafiz bin Hashim
( Kesatria Emas Raja Kuning)
Muhammad Fidzrul Azuan
( Hulubalang Emas Satria Raja)
Wan Ahmad Faiz
(Imam Muda Singgahsana)


Bengkung Merah Chula 1
Ariff Fikri bin Mohamed Zikri
(Tengku Mahkota Bentara Raja)
Muhammad Zahin bin Abd Razak
( Dato’ Ketemenggungan Helang Putih)
Fawwaz Bin Fuat 
(Sri Baginda Sangkuriang Brawijaya Sakti. )
Muhammad Aiman bin Milatushamshi
( Dato Laksamana Setia Raja )

 Bengkung Pelangi Hijau
Muhammad Ilham Bin Mat Hussin
(Dato; Syahbandar Sri Sukma)

Tempur Bersenjata Putera
UTP C – Mohd Amin Bin Harith, Muhammad Hafiz bin Hashim
( Lembing )
UTP A – Muhammad Zahin bin Abd Razak, Fawwaz bin Fuat
( Pisau )
UTP B - Muhammad Aiman bin Milatushamshi, Ariff Fikri bin Muhammad Zikry
( Kayu T, Tongkat )

Monday, May 3, 2010

Kenapa Masuk SIlat


Salam pendekar, Salam sahabat.


Tanah Melaka tanah pusaka, 
Tempat lahir panglima negara,
Wahai pemudi juga pemuda,
Bangunlah kamu mempertahankan negara.

Di akhir sesi latihan, abang Jai menyampaikan sedikit kata-kata nasihat kepada semua ahli. Katanya, sekarang susah nak jumpa orang yang sayangkan ilmu, yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menuntut ilmu, lagi-lagi ilmu silat. Sekarang semua nak cara senang, semua benda nak disuap. Kata orang putih, ‘spoon feed’ la.

Tak ramai orang yang betul-betul belajar untuk tujuan yang utama. Padahal benda ini (seni bela diri) adalah satu keperlua, kewajiban, yang  mempersiapkan seorang mukmin ke perbatasan, sentiasa bersiap siaga menanti musuh.
Kalau ditanya tiap-tiap orang, mesti ada sebabnya belajar silat. Di waktu kecil, mungkin sebab seronok tengok aksi-aksi ganas dalam silat. Di sekolah pula, sebab nak mengelak kena buli di asrama, dan bukan sedikit yang belajar silat untuk menunjuk-nunjuk.
Masing-masing sudah dewasa. Kalau dianalisa, mereka ni (yang belajar silat) masih ramai yang tak tahu kenapa mereka berpenat-lelah, guling sana-guling sini dalam latihan, sedangkan ‘inti’ dari ilmu tak sampai ke lubuk hati.
Silat sebenarnya satu wadah, satu haluan yang boleh membuatkan ahlinya lebih dekat kepada Sang Pencipta. Melalui haluan yang susah ini kita boleh tahu kelemahan dan kekuatan manusia. Lebih-lebih lagi apabila seni ini menggalakkan ahlinya mencintai Islam itu sendiri.
Dari sudut pandangan lain, silatlah antara cara yang paling efisyen bagi membina jati diri seorang mukmin atau serikandi yang berakhlak. Disiplin sangat ditekankan, kesopanan dan adat diutamakan, ilmu dan kehormatan ditauliahkan. Cukup  lengkap untuk mendidik ahlinya dengan cirri-ciri Umat Terbaik.
“Kita belajar silat ni bukannya nak tunjuk kuat, tapi amat berguna kalau kat luar sana, kalau saudara kamu kena khianat, sapa nak tolong?” Pesanan Cikgu Amin cukup menyedarkan kita, masyarakat memerlukan kita.
Cukuplah sekadar ini rentetan seorang pesilat muda yang baru mengenal gerak dan seni. Semoga apa yang disampaikan berbekas di dasar hati. Kalau tidak setompok, setitik pon jadi-lah.

Tanah Melaka tanah purba,
Tempat berbagai aneka sejarah,
Kalau kata sudah dikota,
Pantang Melayu menyerah kalah.