Showing posts with label Gayong. Show all posts
Showing posts with label Gayong. Show all posts

Saturday, November 6, 2010

Laporan Kejohanan PESAKA Perak (15-17 Oktober)

Assalamualaikum

Pertama seklainya, mohon maaf kepada semua kerana lama sudah tidak update blog ni. Kesibukan masa belajar dan hal lain seringkali melalaikan. Bagaimanapun, di kesempatan ini, saya update sedikit mengenai kejohanan yang diadakan bulan lepas.

Kejohanan Silat Remaja dan Kebangsaan Peringkat Negeri Perak (15-17 Oktober 2010)
Tempat: Kompleks Belia dan Sukan Perak

Untuk menyertai kejohanan ini, kami menghantar satu pasukan yang baru dibentuk, secara asasnya untuk memberi pengalaman pertandingan kepada ahli baru. Peserta dipilih dari gabungan pesilat Gayong Serantau dari UTP dan PUO. Jurulatih utama team ini diketuai oleh Cikgu Nesaar, dibantu oleh Puan Shila, Cikgu Jai, Abang Man, dan Ajib. Terima kasih kerana membimbing kami.

Kejohanan ini disertai oleh kira-kira 14 Pertubuhan, antaranya- Gayong Malaysia, Gayong Pasak, Serimau Hitam, Lintau Malaysia, Persada Manjung, Panglima Ulung, Banten Betawi, dan ramai lagi. Cabaran dalam silat olahraga amat sengit khususnya bagi kelas A-E.

Sepanjang siri kejohanan, pelbagai keajaiban berlaku, sehingga kami yang masih baru dalam dunia kejohanan mampu membawa pulang 4 Emas, 3 Perak, dan 4 Gangsa. Tahniah kepada skuad Wira Tempur Serantau! Saudara Fidzrul menghadiahkan pingat pertama skuad menerusi Jurus Tunggal Putera dengan kilauan Perak. 
Berikut merupakan peserta yang mengharumkan nama Gayong Serantau UTP:

Silat Seni:
Muhammad Fidzrul Azuan Bin Razali - Jurus Tunggal (Perak)
Mohd Zaaim Zhafri - Solo Kreatif (Ke-4)

Silat Olahraga
Mohd Hasyeme Bin Nasir - A Putera (Emas)
Mohd Azmidi Bin Abdullah - B Putera (Suku Akhir)
Mohd Haziq A. Kadir - C Putera (Emas)
Mohd Suhaidi - D Putera (Emas)
Mohd Zawawie - E Putera (Gangsa)
Wan Ahmad Faiz - H Putera (Perak)
Mohd Zulfadhli - Bebas Putera (Gangsa)

Nur Ezrin Asyikin - A Puteri (Gangsa)
Nurul Hidayah - B Puteri (Suku Akhir)
Fatin Amalina Rosdi - C Puteri (Gangsa)
Nurul Najwa Abd Rashid - E Puteri (Emas)
Nurul Emylia - F Puteri (Perak)

Tahniah kalian! Kejayaan kalia merupakan pembangkit semangat kepada pertubuhan ini!

Sedikit potret...

 Semasa taklimat, mereka di belakang..


 4 Emas 3 Perak 4 Gangsa


Hadiah Kejohanan Pertama

Serantau di Perak 


Yu Fidzrul - Pingat Pertama Serantau


 Pasangan muda tempur...

 
Disebalik tabir...


Sebulan sebelum kejohanan, kisah penyertaan Gayong Serantau masih samar-samar. Apatah lagi tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 September lagi. Namun dengan usaha Puan Shila, Setiausaha Gayong Serantau Perak, En. Azman, Bendahari, dan Saudara Ajib, Penolong Setiausaha, haluan terbuka buat kami untuk menyertai kejohanan julung kali ini. Tidak lupa juga kepada Cikgu Jai, YDP Serantau Perak dan Dato' Wan Ahmad Fauzi, Waris Amanah Gayong serantau yang sud menghulurkan dana kepada kami. Jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka.

Monday, August 23, 2010

Kursus Keris : Penghayatan Senjata Maut Melayu

Sekitar Kursus Keris dan Mandi Minyak.

Mengimbas kembali pelajaran kursus keris yang diadakan di Air Kuning, Taiping pada 6-8 Ogos yang lalu, membuatkan jiwa kembali bersemangat untuk bersilat. Apa tidaknya, pelajaran yang sukar untuk diperoleh begini boleh dikatakan sangat bernilai, apatah lagi pelajaran tersebut terus melalui guru lama Gayong, Cikgu Sidik bin Yeop.

 Kilas dari Kipas Emas

Cikgu Sidik merupakan generasi kedua anak didik Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman, antara yang paling lama memperjuangkan Silat Seni Gayong. Dari tujuh orang murid generasi kedua ini, hanya tinggal dua orang sahaja lagi yang dipanjangkan umur untuk memperjuangkan warisan Silat Gayong, iaitu Cikgu Sidik dan Cikgu Nordin yang kini menetap di Perlis sebagai Kipas Emas PSSGM. Cikgu Sidik pula diamanahkan untuk memegang jawatan yang sama, Kipas Emas Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia pada 5hb Ogos yang lepas.

Pesilat dari UTP da PUO, bersama Asri

Walaupun sudah berusia 72 tahun, Cikgu Sidik masih bertenaga untuk menunjukkan sendiri gerakan dan tempur silat. Paling membanggakan, beliau sendiri yang sudi berguling dan bertempur, suatu aksi yang amat sukar dilakukan oleh guru-guru lain pada usia sebegitu. Beliau sangat pemurah orangnya, sudi mengajar apa saja yang diminta, dan tidak kekok untuk mengajar.

Abang Roslee dari Singapura tekun mendengar pesanan dari guru lama

Berbalik kepada kursus keris, pelbagai pelajaran berjaya dipetik sepanjang majlis. Bermula dari senaman keris, gerakan, sehinggalah kepada buah tapak asas 49. Peserta terlebih dahulu diperlimau sintuk seni bagi mereka yang belum berbuat demikian, selanjutnya mengambil adat tapak keris di rumah Cikgu Mokhtar.

Antara pesilat dari UTP:

Mohammad Hafiz Bin Hashim
Muhammad Amin Bin Harith
Amirul Azizi Bin Anuar
Ariff FIkri Bin Mohamed Zikri
Mohd Farhan Bin Zammeri
Mohd Irwan Affendi Bin Mohd Suhaimi

Perlimau sintuk seni dan adat mengambil tapak keris

Kehadiran peserta dari Gayong Singapura (PERSISI), memeriahkan lagi temasya beradat kali ini. Peserta pula terdiri dari pesilat dari seluruh negara, seperti dari Universiti Teknologi PETRONAS, Politeknik Primier Ungku Omar, saudara Asri dari Kuala Lumpur, dan pesilat dari gelanggang Pokok Assam sendiri di bawah kelolaan Cikgu Mokhtar dan CIkgu Neesa. Tiada sempadan pertubuham bagaikan seluruh Gayong sudah bersatu. Gayong bercantum, bersatu padu.

Bermula dengan senaman

Pendekar senior UTP, Amin dan Hafiz

Penulis tidak sempat untuk bersama-sama pada majlis Mandi Minyak sebelah malamnya (8 Ogos) kerana terpaksa pulang awal ke UTP. Walaubagaimanapun, laporannya boleh dibaca di blog Pewaris Gayong, http://pewarisgayong.blogspot.com/2010_08_01_archive.html.

 Barisan pesilat dari pelbagai pertubuhan

 Cikgu Sidik, tidak kekok untuk memberi ilmu

Kursus ini akan bersambung selepas Hari Raya Aidil Fitri, InsyaAllah akan diadakan di Ipoh, Perak. Semoga perpaduan Gayong dapat dibentuk melalui kursus sebegini. Sekian.

Saturday, August 21, 2010

Semangat Yang Hilang

Berdetik, berdetum.


Kala tengah malam, (lebih tept dikatakan pagi).. merayau-rayau ke blog Narapatinantaboga, PersantaNala, Gayong Serantau Perak, dan lain-lain lagi. Sebenarnya tengah mati akal menjawab soalan assignment kolej yang bertimbun, dengan lab report yang tak sudah. Jadi ambil sedikit masa memikirkan, menambah ilmu mengenai seni kependekaran ini. Dapatlah jugak merungkai sedikit sebanyak sejarah Gayong. Diharapkan suatu hari nanti, boleh bertemu sendiri dengan guru-guru lama untuk ilmu yang lebih lanjut.

Dah dok asyik menatap gambar pesilat-pesilat hebat dari luar, terasa juga dalam diri, mampukah beraksi sedemikian. Sekarang Gayong tempatan bagai layang-layang putus tali, namanya saja gah, "NGERI" tu sudah kabur. Orang bayak bercakap hebat, bengkung tinggi-tinggi, sandang berlapis-lapis, tapi tidaklah se-Ngeri yang sepatutnya. Dah macam harimau hilang kuku.


Gayong di IPT

Makin ramai yang bercakap tentang masalah Gayong di IPT. Memang bermasalah. Mahasiswa kini sudah tidak pandang seni pusaka bangsa lagi. Masing-masing seronok dengan kehidupan sendiri. Walhal berapa percent sangat yang fokus pada pelajaran. Mereka lebih seronok bersama "facebook", layan movie, lepak main gitar, tengok bola jam 2.30 pagi, dan main game komputer. Sedikit amat yang memandang seni. Apatah lagi seni bela diri Melayu.


Saban hari, bilangan penggiat dan penuntut ilmu Gayong makin berkurang, mereka lebih memilih untuk bersenang-senang, bebaskan diri dari kepenatan bersilat. Mungkin bagi mereka, kehidupan di luar lebih menyeronokkan, terserahlah. Apa yang pasti, hanya mereka yang betul-betul sayangkan warisan Melayu saja yang tetap tidak pata hati berjuang untuk Gayong, meski pun seketika cuma. Semoga dikuatkan hati dan semangat mereka.

Wahai anak-anak Melayu, khususnya muda remaja di IPT, renungkanlah. Jika kita nak melihat nasib negara pada masa hadapan, lihatlah remaja pada masa kini. Masalah berkaita remaja semakin meluas, melampaui batas etika manusia. Kelakuan mereka seperti buang bayi, zina, teguk arak, judi, dan masalah akidah, boleh dikatakan hilang layaknya menjadi manusia. Nauzubillah.


Percayalah, dalam Gayong kita belajar, dalam Gayong kita bina jati diri, dalam Gayong kita bina akidah, dalam Gayong kita perkuat semangat. Gayong tidak hanya mengajar bermain pisau tongkat, tetapi Gayong juga mengajar disiplin sepakat.

Salam Gayong~

Thursday, May 27, 2010

Lambang Baru Gayong Serantau

Lambang Baru Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia




Lambang yang menjadi lencana atau terpapar pada dokumen rasmi dan sijil Silat Gayong mempunyai makna dan pengertian tertentu.

BULAN DAN BINTANG
Melambangkan agama Islam dan syiarnya berada di puncak dunia. Silat Gayong meletakkan agama di tempat yang paling tinggi sebagai penyuluh hidup. Ia juga melambangkan agama Islam menjadi teras perguruan persilatan ini.

BUMI
Menunjukkan bahawa Silat Seni gayong akan berkembang ke seluruh dunia khasnya untuk semua muslim.

BEJANA AIR

Simbolik kepada universaliti ilmu Silat Seni Gayong. Apa yang didapati atau dilihat pada senibela diri lain samada tempatan atau luar negeri telah wujud dalam Silat Seni Gayong. Silat Seni Gayong ialah ilmu persilatan asli yang tidak diciplak dan boleh ditimba sentiasa umpama air yang tidak akan putus. Ia juga melambangkan kesatuan hati dan bulat kata kerana sepakat. Bak kata pepatah Melayu, “ Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana sepakat ”. Murid Gayong mestilah berpadu untuk menegakkan yang hak.

HARIMAU
Melambangkan keberanian dan kepahlawanan di darat. Ia menonjolkan identiti atau corak pelajaran Silat Seni Gayong yang diasas dari sifat dan ketangkasan seekor harimau. Resam harimau menyembunyikan kukunya, di kala tertentu sahaja ia akan menzahirkan kekuatan dan ketajaman cengkaman kukunya yang boleh mematah dan membunuh mangsanya dalam beberapa saat sahaja.

NAGA
Menunjukkan bahawa Silat Seni Gayong bukan sahaja boleh diguna di darat, bahkan juga di dalam air. Logo naga ini dipercayai telah dihadiahkan oleh Maharaja China kepada Allahyarham Dato’ Laksamana Hang Tuah atas keberanian dan kehandalannya semasa melawat negeri China dahulu. Naga juga  merupakan simbol yang berkaitan dengan proses kelahiran Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman sendiri. Kedudukan naga yang melingkungi dunia di mana kepalanya hampir bercantum dengan ekor melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal ke seluruh dunia.

KERIS BERSILANG
Simbolik kepada semangat Laksamana terbilang melayu, Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Jebat mati sewaktu menjadi Laksamana. Jawatan Laksamana tidak diambil semula oleh Hang Tuah selepas kematian Hang Jebat. Keris dalam lambang tersebut adalah keris Tamingsari yang pernah digunakan oleh kedua-dua laksamana tersebut. Keris yang merupakan salah satu pelajaran yang diajar kepada murid Gayong adalah satu lambang senjata asli bangsa Melayu. Ini membuktikan Silat Seni Gayong adalah silat melayu seni warisan bangsa yang asli dan tulen.

PEDANG BERMATA DUA
Melambangkan pedang Zulfakar kepunyaan Saidina Ali r.a. yang terukir kalimah suci dari Al – Quran bermaksud "Kemenangan daripada Allah dan kejayaan yang hampir" di sepanjang mata pedang tersebut. Ia bertujuan mengenang kembali perjuangan para sahabat menegakkan Islam di zaman Jahilliyah.

HITAM CHULA VII
Melambangkan Bengkung Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negar, bengkong peribadi Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Tengku Daeng Uda Mohd Hashim, Mahaguru Silat Seni Gayong. Di sebalik lambang tersebut, ia bermaksud Silat Seni Gayong bersendikan adat, adatlah yang mengawasi perjalanan Silat Seni Gayong. Tanpa adat, Silat Seni Gayong akan hilang kedaulatan. Oleh itu, menjadi kewajipan semua murid Gayong untuk mempertahankan adat agar hala tuju dan matlamat Silat Seni Gayong tidak diselewenegkan.