Tuesday, June 1, 2010

Warkah Anak Gaza

Assalamualaikum,

Dari anak-anak kecil Gaza,
Kehadapan Presiden/Perdana Menteri/Pemimpin Dunia.


     Apa khabar Dato'? Harapnya Dato'-Dato' berada dalam keadaan sihat walafiat. Kami di sini juga sihat sahaja, cuma menanti bedilan tentera Yahudi. Lama kiranya kami tidak menghubungi Dato'-Dato'. Kalian selaku umat Islam sentiasa berada di hati kami. Cuma tidak tahulah kalau-kalau Dato' masih terkenangkan kami atau tidak.


Nendaku tersayang,

     Saban hari kami diancam. Ibu bapa kami dibunuh. Kakak-kaka kami diperkosa. Rumah-rumah kami ranap. Mengapa mereka musnahkan rumah kami, walhal saiznya kecil sahaja. Rumah Dato'-Dato' sekalian berlipat ganda besar, tidak pula mereka hancurkan, hati-hati ya Dato'. 


Dato',

    Pagi tadi kami hanya sempat menjamah roti kering dengan air kosong. Bekalan kami semakin berkurang. Jarang sekali kami tidak berpuasa, gara-gara kehabisan makanan. Cemburu juga mendengarkan Dato' sekalian makan di hotel-hotel mewah. Di sini usahkan makanan, ubat-ubatan pun tiada. Bantuan yang diharapkan tidak kunjung tiba. Kami bukanlah mengemis, sekadar memohon Doa' dari kalian. Itupun kalau kalian masih lagi mengerjakan sembahyang, atau kalian leka dengan gadis-gadis pelayan?


Dato'..

     Dato'? menangis? Tidak usah Dato'.Kami sudah serik, air mata kalian tidak mebawa erti lagi. Kami berjuang di atas bumi sendiri. Batu senjata kami, senapang mainan kami, bom menjadi hiasan kami. Terima kasih Dato' kerana sudi menderma di hadapan kamera wartawan, namun kami tidak mengharapkan itu. kami harapakan keikhlasan, bukan cakap kosong atau laungan remeh di kaca televisyen.  


Nendaku yang dikasihi, 

     Doakan kami. Gaza tidak akan tumbang dengan mudah. Palestin akan kami pertahankan. Kitab suci kami julang. Doakan saja semangat kami tidak luntur, Jihad kami tidak kecundang. Semoga Allah merahmati kami. Teguhkanlah imanmu wahai nendaku, pelihara akhlakmu, ingatlah Tuhanmu. 




Salam Sayang,
Anak Kecil Gaza

2 comments: