2 Mac 2011, bersamaan 27 Rabiul Awal 1432 Hijrah
Dari Ariff Fikri Bin Mohamed Zikri, Pengerusi PSGSM UTP,
Kepada seluruh Mujahidin UTP sekaliannya.
Assalamualaikum wbt.
Bismillahirrahmanirrahim, Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga baginda, para sahabat, dan para tabi’ wattabi’in. Bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan Inayahnya, kita masih lagi dilindungi dengan nikmat Iman dan Islam.
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang- orang yang berjihad[232] diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.” [Q,3:142]
Bersandarkan ayat di atas, salah satu maksud Jihad adalah berperang untuk menegakkan Islam dan melindungi orang-orang Islam. Jika kita teliti perkembangan arus politik dunia dewasa ini, kebangkitan Islam sudah mula menunjukkan peranannya, didahului dengan tumbangnya Presiden Mesir, Hosni Mubarak di tangan rakyatnya sendiri. Revolusi menentang kekejaman dan kezaliman pemimpin kian merebak ke negara di rantau Asia Barat seperti Libya, Algeria, Tunisia dan Yaman.
Hampir semua revolusi ini dibentuk oleh kumpulan mahasiswa yang terpelajar, yang mampu memikirkan masa depan dan ingin membentuk pembaharuan, terutamanya bagi mengembalikan kegemilangan Islam ke tampuknya yang tertinggi.
Justeru itu, kita sebagai Mujahidin di UTP tidak harus berdiam kaku dan hanya berpeluk tubuh kerana segala kemungkinan boleh berlaku. Harus diingatkan, walaupun penganut Agama Islam di Malaysia kian bertambah, tetapi bilangan yang betul-betul mengabdikan diri kepada Allah amatlah sedikit. Kerosakan akhlak dan keruntuhan moral menghantui masyarakat Islam kini. Kita sebagai pemuda Islam, dan golongan mahasiswa seharusnya menjadi nadi untuk mengembalikan Islam kepada jalannya yang benar.
Para Mujahid di jalan Allah,
Ilmu keduniaan dan gerakan dakwah semata-mata sahaja tidak cukup untuk menyebarkan ajaran suci ini. Kita harus bersiap siaga dengan segala kebolehan, terutamanya persiapan fizikal dan pertahanan diri. Andai kata kita diberi taklifan untuk berjihad, adakah kita benar-benar mampu? Memegang senjata pun tidak pernah, apatah lagi menentang musuh yang ramai? Berdayakah kita membela syariat Islam, negara kita, keluarga kita? Tanyakan persoalan ini kepada diri masing-masing.
Wahai golongan yang berjihad,
Pada hari ini saya ingin mengajak agar kita semua mempersiap-siagakan diri kita dengan segala kemungkinan, seperti mana maksudnya yang tertulis dalam Kitabullah, Surah Ali Imran, ayat ke-200 dan Surah An-Nisa’, ayat ke 71;
“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.” [3:200]
“Hai orang-orang yang beriman, bersiap siagalah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!” [3:71]
Jelaslah pada mafhum ayatnya, kita tidak boleh leka dengan hanya memeluk tubuh, tetapi perlu sentiasa bersiap siaga. Maka dengan itu, saya dengan hati yang ikhlas mengajak Mujahidin sekalian untuk menyertai latihan seni bela diri Silat Gayong bagi memperkuat daya ketahanan fizikal dan mental.
Kini hanya bergantung kepada keikhlasan dan kesediaan kalian untuk menyertai latihan. Janganlah kita menjadikan kesibukan masa sebagai alasan untuk berdalih dari persiapan Jihad, kerana kita memang seharusnya perlu disibukkan dengan amal-amal soleh bagi mengekang maksiat. Semoga segala usaha kita sentiasa di bawah redha dan rahmat Allah.
Sekian, wabillahittaufiq wal hidayah, Assalamualaikum wbt.
“Mengibar Panji Hitam Ufuk Timur”
Ariff Fikri Bin Mohamed Zikri
Pengerusi,
Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia.
Universiti teknologi Petronas.