Saturday, August 28, 2010

Pelajaran Minggu Ini: Kombat Pisau

Alhamdulillah, Ramadhan kali ini masih memberikan kami semangat untuk bergayong. Walaupun kehadiran tidaklah ramai seperti di bulan-bulan lainnya, namun latihan tetap berjalan seperti biasa. Isnin lalu, lebih kurang 20 pesilat hadir ke Martial Art Room untuk memanaskan badan di bulan yang 'ssssejuk' ini. Maklum sajalah, siang hari semua berlapar dahaga, tapi berbuka bagai nak rak. Bagi 2 pinggan nasi pon habis, ditambah pula dengan juadah dari bazaar.

Berbalik kepada tajuk utama, kami mua berlatih setelah selesai mengerjakan solat Terawikh 8 rakaat, sekitar 10.30  malam. Seperti biasa, setelah membuka gelanggang, senaman dan regangan dilakukan untuk beberapa minit.

Pelbagai jenis pisau


Pelajaran silibus pada malam ini adalah Kombat Pisau. Beberapa bulan lalu, pesilat telah mempelajari gerakan pisau (14 dan 21 gerakan) beserta dengan pecahannya. Kunci pisau pula telah diajar kepada beberapa orang pesilat hijau, kalau tak silap sehingga kunci 10.

Kombat pisau merupakan lanjutan kepada elakan Pisau 1, yakni elakan kepada tikaman anak sungai. Bermula dari elakan, gerakan balas disertakan bagi menjatuhkan lawan secepat mungkin. Kombat Pisau ini harus dilakukan setangkas mungkin, dengan masa maksimum 3 saat. Alhamdulillah, kami berjaya mempraktikkan 6 buah Kombat Pisau.

 Pisau Kayu Malam

Bermain dengan pisau memerlukan kepantasan dan ketepatan dalam mengelak dan menyerang. Penggunaan kaki adalah sangat penting bagi menyalahkan serangan pisau dari pihak lawan, kerana jangkauannya yang jauh. Diharap setiap ahli mampu menidakkan serangan bersenjatakan pisau.

Selesai latihan berpisau, semua ahli fokus kepada persiapan untuuk pertandingan. Masing-masing sibuk memperkemas gerakan, khususnya peserta silat seni; Jurus Tunggal, Jurus Wajib, Ganda, dan Solo. Kredit untuk Fidzrul, master silat seni~

p/s: Sempat juga menunjukkan buah keris yang dipelajari dengan Cikgu Sidik kepada anak-anak buah.

Monday, August 23, 2010

Kursus Keris : Penghayatan Senjata Maut Melayu

Sekitar Kursus Keris dan Mandi Minyak.

Mengimbas kembali pelajaran kursus keris yang diadakan di Air Kuning, Taiping pada 6-8 Ogos yang lalu, membuatkan jiwa kembali bersemangat untuk bersilat. Apa tidaknya, pelajaran yang sukar untuk diperoleh begini boleh dikatakan sangat bernilai, apatah lagi pelajaran tersebut terus melalui guru lama Gayong, Cikgu Sidik bin Yeop.

 Kilas dari Kipas Emas

Cikgu Sidik merupakan generasi kedua anak didik Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman, antara yang paling lama memperjuangkan Silat Seni Gayong. Dari tujuh orang murid generasi kedua ini, hanya tinggal dua orang sahaja lagi yang dipanjangkan umur untuk memperjuangkan warisan Silat Gayong, iaitu Cikgu Sidik dan Cikgu Nordin yang kini menetap di Perlis sebagai Kipas Emas PSSGM. Cikgu Sidik pula diamanahkan untuk memegang jawatan yang sama, Kipas Emas Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia pada 5hb Ogos yang lepas.

Pesilat dari UTP da PUO, bersama Asri

Walaupun sudah berusia 72 tahun, Cikgu Sidik masih bertenaga untuk menunjukkan sendiri gerakan dan tempur silat. Paling membanggakan, beliau sendiri yang sudi berguling dan bertempur, suatu aksi yang amat sukar dilakukan oleh guru-guru lain pada usia sebegitu. Beliau sangat pemurah orangnya, sudi mengajar apa saja yang diminta, dan tidak kekok untuk mengajar.

Abang Roslee dari Singapura tekun mendengar pesanan dari guru lama

Berbalik kepada kursus keris, pelbagai pelajaran berjaya dipetik sepanjang majlis. Bermula dari senaman keris, gerakan, sehinggalah kepada buah tapak asas 49. Peserta terlebih dahulu diperlimau sintuk seni bagi mereka yang belum berbuat demikian, selanjutnya mengambil adat tapak keris di rumah Cikgu Mokhtar.

Antara pesilat dari UTP:

Mohammad Hafiz Bin Hashim
Muhammad Amin Bin Harith
Amirul Azizi Bin Anuar
Ariff FIkri Bin Mohamed Zikri
Mohd Farhan Bin Zammeri
Mohd Irwan Affendi Bin Mohd Suhaimi

Perlimau sintuk seni dan adat mengambil tapak keris

Kehadiran peserta dari Gayong Singapura (PERSISI), memeriahkan lagi temasya beradat kali ini. Peserta pula terdiri dari pesilat dari seluruh negara, seperti dari Universiti Teknologi PETRONAS, Politeknik Primier Ungku Omar, saudara Asri dari Kuala Lumpur, dan pesilat dari gelanggang Pokok Assam sendiri di bawah kelolaan Cikgu Mokhtar dan CIkgu Neesa. Tiada sempadan pertubuham bagaikan seluruh Gayong sudah bersatu. Gayong bercantum, bersatu padu.

Bermula dengan senaman

Pendekar senior UTP, Amin dan Hafiz

Penulis tidak sempat untuk bersama-sama pada majlis Mandi Minyak sebelah malamnya (8 Ogos) kerana terpaksa pulang awal ke UTP. Walaubagaimanapun, laporannya boleh dibaca di blog Pewaris Gayong, http://pewarisgayong.blogspot.com/2010_08_01_archive.html.

 Barisan pesilat dari pelbagai pertubuhan

 Cikgu Sidik, tidak kekok untuk memberi ilmu

Kursus ini akan bersambung selepas Hari Raya Aidil Fitri, InsyaAllah akan diadakan di Ipoh, Perak. Semoga perpaduan Gayong dapat dibentuk melalui kursus sebegini. Sekian.

Saturday, August 21, 2010

Semangat Yang Hilang

Berdetik, berdetum.


Kala tengah malam, (lebih tept dikatakan pagi).. merayau-rayau ke blog Narapatinantaboga, PersantaNala, Gayong Serantau Perak, dan lain-lain lagi. Sebenarnya tengah mati akal menjawab soalan assignment kolej yang bertimbun, dengan lab report yang tak sudah. Jadi ambil sedikit masa memikirkan, menambah ilmu mengenai seni kependekaran ini. Dapatlah jugak merungkai sedikit sebanyak sejarah Gayong. Diharapkan suatu hari nanti, boleh bertemu sendiri dengan guru-guru lama untuk ilmu yang lebih lanjut.

Dah dok asyik menatap gambar pesilat-pesilat hebat dari luar, terasa juga dalam diri, mampukah beraksi sedemikian. Sekarang Gayong tempatan bagai layang-layang putus tali, namanya saja gah, "NGERI" tu sudah kabur. Orang bayak bercakap hebat, bengkung tinggi-tinggi, sandang berlapis-lapis, tapi tidaklah se-Ngeri yang sepatutnya. Dah macam harimau hilang kuku.


Gayong di IPT

Makin ramai yang bercakap tentang masalah Gayong di IPT. Memang bermasalah. Mahasiswa kini sudah tidak pandang seni pusaka bangsa lagi. Masing-masing seronok dengan kehidupan sendiri. Walhal berapa percent sangat yang fokus pada pelajaran. Mereka lebih seronok bersama "facebook", layan movie, lepak main gitar, tengok bola jam 2.30 pagi, dan main game komputer. Sedikit amat yang memandang seni. Apatah lagi seni bela diri Melayu.


Saban hari, bilangan penggiat dan penuntut ilmu Gayong makin berkurang, mereka lebih memilih untuk bersenang-senang, bebaskan diri dari kepenatan bersilat. Mungkin bagi mereka, kehidupan di luar lebih menyeronokkan, terserahlah. Apa yang pasti, hanya mereka yang betul-betul sayangkan warisan Melayu saja yang tetap tidak pata hati berjuang untuk Gayong, meski pun seketika cuma. Semoga dikuatkan hati dan semangat mereka.

Wahai anak-anak Melayu, khususnya muda remaja di IPT, renungkanlah. Jika kita nak melihat nasib negara pada masa hadapan, lihatlah remaja pada masa kini. Masalah berkaita remaja semakin meluas, melampaui batas etika manusia. Kelakuan mereka seperti buang bayi, zina, teguk arak, judi, dan masalah akidah, boleh dikatakan hilang layaknya menjadi manusia. Nauzubillah.


Percayalah, dalam Gayong kita belajar, dalam Gayong kita bina jati diri, dalam Gayong kita bina akidah, dalam Gayong kita perkuat semangat. Gayong tidak hanya mengajar bermain pisau tongkat, tetapi Gayong juga mengajar disiplin sepakat.

Salam Gayong~