Friday, July 23, 2010

Sajak Pahlawan: Genta Purba

GENTA PURBA

Siapa tahu genta purba kembali bergema
Mencabar roh-roh pahlawan
Yang dengan keringat dan darah
Membangun tugu-tugu perkasa
Di atas tindihan mayat-mayat bergelimpang
Yang kemudian matinya tak bernama
Rebahnya tanpa upacara

Siapa tahu genta purba kembali bergema
Mencanang perintah raja dari istana
Lalu bertingkah gong dan gendang
Sahut bersahut rebana dibalai
Mendayu-dayu nobat di ruang
Berangkatlah baginda beriring dayang-dayang



Melaka empayar perkasa berpuncak daulat raja
Tun Perak bendahara terbilang lagi perwira
Hang Tuah terkenal handal pahlawan raja
Jebat rakyat mungkar konon menyanggah baginda


Dalam sejarah Tun Seri Lanang berkisah
Tentang Srivijaya Majapahit dan Melaka
Pisang Jarum dan air Bukit Cina
Bandar Melaka berkawal panglima
Terlalu pintar Bendahara Seri Maharaja


Melaka sebuah empayar di Asia Tenggara
Benua China menghulur jabatangan mesra
Mengutus puteri cantik sebagai duta
Bertandang ke istana mengulit duli baginda
Dayang-dayang ungu hatinya dibakar wajah jelita

Adakah mungkin genta purba kembali bergema
Lalu berulang sejarah dua zaman
Siapa tahu Raja Melaka bangun dari makamnya
Menghantar utusan pula ke Benua China?


(Sajak : Genta Purba karya Shamsuddin Ja’afar)

SAJAK TERBAIK PROGRAM PENGHAYATAN SASTERA DAN BUDAYA

Sunday, July 18, 2010

Coretan Pertama: Jatuh Bangun


PSGSM UTP kini sedang kembali bangun, bangun setelah sekian lama terduduk. Walaupun pelbagai onak dan duri membadai, PSGSM tetap teguh. Pendirian kami bukanlah seperti lalang yang hanya mengikut arus angin, tetapi lebih kepada seperti batang buluh. Tetap tabah menongkah arus. Taufan mungkin sahaja mampu menumbangkan besarnya pohon ara atau rendangnya meranti, tetepi tidak buluh. Buluh berupaya membias tiupan ganas itu, bahkan memanfatkannya sebagai kekuatan sendiri. Semoga buluh terus utuh mengikut selok seni lenturannya.

Pasang surut sentiasa berlaku dalam kelab, dan kini musim pasangnya kembali menjelma. Kepimpinan baru yang sudah dilantik diharapkan dapat meneruskan perjuangan Gayong UTP. Meskipun pelbagai ragam tercipta dari luar dan dalam, semoga mereka bersih dari dinodai fikrah buruk pihak luar. Apa yang penting, perjuangan suci ini tegap dijalannya.
Semakin hampir kepada awal semester, semakin kuat debarannya. Masakan tidak, pelbagai program dan perancangan harus dilaksanakan. Bekerja seorang diri boleh mengundang masalah, itulah sebabnya diharapkan semua ahli dapat bersatu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Niat perlu diluruskan, tekad harus digilap. Semester ini semestinya menjanjikan dugaan yang mencabar. Pengambilan ahli baru tidak lagi mudah seperti dahulu kala. Apatah lagi pelajar baru kini memasuki sitem tri-semester. Perbezaan banyak berlaku dari segi waktu cuti dan belajar, sekaligus menyukarkan pihak pengurusan melaksanakan kempen dan demonstasi. Banyak juga antara mereka yang terlebih awal ‘dipetik’ oleh kelab lain.

Bukan sahaja ahli baru, ahli lama pun makin liat menampakkan diri. Semakin hari, makin ramai yang sibuk. Al-maklum sajalah, UTP sarat dengan ‘event’. Masing-masing nak pegang jawatan dalam program. Yang tinggal hanyalah duka dan sepi.
Pembukaan semester baru dijangka getir, terlalu banyak program yang perlu diuruskan. Kalau tidak mengurus, jadi peserta, begitulah... Bermula denga Kursus Tangan Kosong di GPMS, Minggu Mesra Kampus, Kursus Bela Diri Wanita, Demonstrasi Umum, dan Kursus Keris di Ayer Kuning, awal semester ini pastinya mencurahkan banyak keringat. Sekiranya berjaya, keringat itu pastinya menjadi detik bahagia. Semoga detik itu benar-benar suatu realiti...
Sekian sahajalah coretan sebelum bermula semester..